KAK LONG PUN BOLEH, UMMI
Setiap kali saya selesai menulis satu artikel baru, anak sulung saya pasti rasa cemburu. Dia sebolehnya mahu menulis seperti saya, tapi bagi saya usianya belum mencapai tahap itu. “ Ummi, ajarlah Kak Long tulis panjang-panjang, “ desaknya bila membaca hasil tulisan saya. “ Boleh, tapi bukan sekarang. Nantilah.. bila Kak Long dah sedia dan besar sikit ye,” jawab saya ringkas. Berulang kali dia bertanya, acap itu juga jawapan dari saya. Mendengar itu, dia pasti diam tanpa bertanya lagi. Namun dari riak mukanya, dia bagaikan tidak berpuas hati. Mungkin juga rasa tercabar dengan jawapan dari Umminya ini. SEMASA KECIL Saya masih ingat, ketika anak pertama dan kedua saya berumur dalam lingkungan dua keempat tahun, saya kerap mengikut suami hadir ke program kuliah maghrib atau ceramah. Memikirkan karenah anak-anak yang mungkin berlaku ketika program berlansung, mereka saya bekalkan dengan sehelai kertas dan sebatang pensil setiap seorang. Mendapat itu mereka pasti diam. Tidak banyak meragam.