Posts

Showing posts from March, 2010

TERIMA KASIH ANA...

Image
Mata saya tidak berganjak melihat jarum jam. Waktu menunjukkan hampir pukul 3.30 petang. Sejurus, kedengaran deruman kereta suami di luar rumah. Saya bersegera menuju ke muka pintu. Menyambut kepulangan anak-anak dan suami yang menjemput mereka dari sekolah. “Macam mana ? “ tanpa bertangguh saya bertanya. Kak Long dan Kak Ngah berpandangan sesama mereka. Melihat riak ceria di wajah kedua-duanya, saya tersenyum lega. “Cikgu kata apa ?” soal saya lagi sambil mengambil beg dan bekalan dari tangan mereka. “Cikgu kelas Kak Long tak kata apa-apa, tapi Miss Chapman dan kawan-kawan di kelas Math ada bertanya: Who are you dressed up as ?” jawab Kak Long sambil menceritakan pengalamannya. “Ha..cikgu kelas Kak Ngah, Miss Hannon pun tanya macam tu juga,” celah Kak Ngah teruja. “Apa Kak Ngah jawab?” pantas saya bertanya. Tidak sabar mahu mengetahui reaksi guru kelasnya. “Kak Ngah tunjukkan gambar pada cikgu. Dia kata, that’s nice ..” jawab Kak Ngah sambil tersenyum manis. “Alhamdulillah, baguslah.

KERANA ALAM TIDAK PERNAH BERDUSTA

Image
Sumber Yakinlah….alam tidak pernah berdusta… Bunga-bunga kuning itu muncul kembali… tanpa terlewat, tanpa bertangguh. .. Tika musim bunga datang bertamu, dia pasti ada di situ… Pada dua mata indahnya bertemu… Yakinlah..alam tidak pernah berdusta… Kuning kelopaknya menceriakan suasana…. Hijau dedaunnya menyegarkan rasa… Sebelum musim luruh menjengah pula… Sebelum kelopak dan daunannya gugur semula… Aku terpaku pada keindahan alam saat ini… Sepertimana keghairahanku saat tiba musim dingin bersalji… Putih salju memikat kalbu…. Kedinginannya…air mengalir membeku kaku… Namun pasti…saat sinar mentari mencelah di siang hari… Salju putih, cair dek panas cahayanya…… Air mataku menitis melihat keajaiban alam semesta….. Betapa ia patuh pada Yang Maha Mencipta…. Bergilir tiba atas ketentuan-Nya… Tidak pernah sekalipun ia berdusta… Subhanallah, walhamdulillah, Allahuakbar… MasyaAllah… Pujian kupanjatlkan ke hadrat-Mu Rabbi...

ANAKKU, SAYANGI DIA..

Image
“Ummi, kenapa Allah beri kita sakit?” soal Kak Long perlahan ketika saya sedang memicit-micit kepalanya. Kebelakangan ini, agak kerap dia mengadu sakit kepala. Mungkin, keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan kesihatannya sedikit terganggu. Saya menatap wajahnya yang berkerut menahan kesakitan. Sesekali dia menutup mata yang sedikit berair. Memahami ketidakselesaannya, saya mengalihkan sedikit kepala Kak Long di atas ribaan untuk mengelakkan cahaya lampu mengenai lansung ke anak matanya. “Kenapa ya Ummi?” Kak Long membuka mata dan kembali bertanya. Saya membasahkan hujung jari dengan sedikit lagi minyak angin sambil terus memicit lembut sekitar dahi dan keningnya. “Sebab sakit merupakan ujian. Allah nak lihat kita sabar atau tidak bila diuji dengan kesakitan,”ringkas saya memberikan jawapan. “Kalau sabar, maksudnya kita berjayalah ye, Ummi?” Kak Long bertanya. Saya menganggukkan kepala. Jelas, dia memahami bahawa setiap yang bernama ujian merupakan penentu kepada dua kemungkinan.

DI ULANGTAHUN INI....

Image
Hari ini genap usianya setahun. Saya menyambut detik ulangtahun pertama ini dengan pelbagai rasa yang meruntun. Gembira, sayu dan pastinya selaut syukur ke hadrat Yang Maha Esa. Andai diumpamakan ia seperti seorang kanak-kanak, usia setahun memperlihatkan perkembangan yang banyak. Telatah dan senyum tawanya menghiburkan lelah ibu dan ayah. Dia sudah mula berjalan meninjau persekitaran yang lebih luas. Mengatur jejak demi jejak walau banyak kali terjatuh setiap kali kaki kecilnya cuba melangkah. Ada ketikanya, kesakitan akibat dari percubaannya itu menghadirkan tangisan. Namun, setelah dipujuk si ibu atau ayah, dia kembali bangun dan terus melangkah. SAYA DAN BLOG Demikian perumpamaan saya dan blog yang baru berusia setahun jagung ini. Tanggal 18 Mac 2009, merupakan tarikh saya ‘melancarkan’ blog yang tidak seberapa ini dengan artikel serba ringkas bertajuk : Memaksa diri untuk berjaya. Sudah agak lama saya tidak menulis. Dan saya juga kurang mahir menulis. Namun, suami selalu memberi

ADUHAI ANAKKU SAYANG

Image
Alhamdulillah, segala puji bagi-Nya. Selesai sudah program ceramah saya di Nottingham pada hari minggu, 14 Mac yang lalu. Dalam debar dan gementar, kerana sudah lama tidak ‘melontar’ kata-kata di hadapan pendengar yang ramai, saya menggagahkan diri untuk bertenang. Sementelah tajuk yang dikupas merupakan rutin seharian, sedikit sebanyak ia membantu memberi keyakinan. Ditambah pula gabungjalin antara ilmu, pengetahuan sedia ada serta pengalaman dan bakat mengalunkan suara, saya memohon limpah rahmat-Nya agar penyampaian saya difahami dan dapat memberi manfaat kepada pendengar yang ada. Oh ya, tidak dilupa, sokongan dan bantuan idea dari suami tercinta. Terima kasih abang Ceramah tersebut dianjurkan oleh HELWA NMC ( Nottingham Malaysian Community ), yang merupakan satu pertubuhan untuk kaum Hawa yang berada di bumi Nottingham. Ahli-ahlinya terdiri daripada para wanita yang telah mendaftar sebagai ahli NMC dan ditubuhkan bagi mewujud satu medium untuk menjaga keharmonian dan ukhuwah ahli.

SELAMA HAYAT INI.....

“Barakallahu lakuma....wabaraka ‘alaikuma..wajama’a bainakuma fikhair..” Meriah berkumandang lagu daripada Maher Zain,mengingatkan saya kepada kemeriahan majlis pernikahan sebelas tahun yang lalu. Kenangan indah penyatuan hati antara saya dan suami. Masih terbayang saat-saat manis ketika baru bergelar seorang isteri. Bagai terasa kekalutan dan rasa bimbang yang menyelubungi diri bila memikirkan tugas dan peranan seorang suri, sedang dalam masa yang sama tanggungjawab dan amanah sebagai seorang penuntut universiti masih tergalas di bahu ini. Andai semasa belum berpunya, saya bebas ke sana sini bersama sahabat-sahabat Muslimah mengisi masa dengan kegiatan dan aktiviti kampus, namun setelah bergelar isteri, semua itu kian terbatas dan memerlukan keizinan suami. Dalam banyak keadaan, keakraban bersama teman-teman yang masih bujang tidak lagi seperti dulu. Saya memahami dan mereka mengerti. Saya kini telah dimiliki. Walaupun perubahan itu telah saya maklumi dan sematkan ke dalam akal dan s

ANTARA DUA HATI

Image
Sumber Mulut saya terkumat kamit melafaz tasbih, tahmid dan takbir. Terasa tenang dan damai di hati ini kala kalimah-kalimah tayyibah itu dibaca bertali. “ Subhanallah….walhamdulillah…..wala ilaha illallah..Allahu Akbar ,” semakin asyik saya dengan alunan zikir yang dibaca, terasa semakin damai dan syahdu menyelinap ke dalam jiwa. Betapa indahnya saat bibir melantunkan kalimah memuji-Nya, hati menyambut. Penuh rasa bahagia. Sukma bergetar bersama kerinduan yang entah bila bertemu penghujungnya. Hanya DIA yang Maha Tahu. Justeru DIA yang menerbitkan kerinduan itu. “ Subhanallah….walhamdulillah…wala ilaha illallah..Allahu Akbar .” Kedengaran di telinga, Kak Long dan Kak Ngah turut mengikuti setiap lafaz yang dialunkan. Sesekali mereka melagukannya dengan suara yang kuat diiringi ketawa kecil. Masih belum mengerti dan memahami keindahan yang lahir dari patah-patah perkataan agung itu. Hati saya sedikit terusik. Tersentuh dengan gelagat anak-anak yang masih belum ‘masak’ dengan kehidupa